Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, gembira dengan kemenangan terbesar Harimau Malaya dalam saingan kelayakan Piala Dunia sejak 1993, namun itu belum cukup untuk meletakkan aksi malam tadi sebagai perlawanan paling sempurna.

Sebelum ini, kemenangan terbesar Malaysia ialah ketika merakam kemenangan 9-0 ke atas Macau dalam kelayakan Piala Dunia 1994 di Stadium Merdeka pada 1993.

Ada yang menjangkakan kemenangan 7-1 dalam pertemuan pertama play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam umpama percikan kebangkitan sebenar skuad kebangsaan, namun bagi Cheng Hoe, ia masih belum layak dilabel sebagai aksi sempurna.

Di sebalik tujuh jaringan yang terhasil di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, ada beberapa kelompongan yang pada pandangan bekas pengendali Kedah itu perlu diberikan penekanan segera.

"Kami perlu memperbaiki aspek hantaran selain tingkatkan tumpuan dalam pertengahan saingan tetapi secara keseluruhannya, kami dapat menampilkan permainan sebenar.

"Kami dapat meledak gol dan ia satu usaha yang bagus daripada pemain," kata Cheng Hoe.

Jurulatih Timor Leste, Norio Tsukitate, mengakui dengan hanya menampilkan pemain muda, bukan mudah untuk mengatasi Malaysia yang memiliki pemain berpengalaman.

Tsukitate mempunyai alasan tersendiri kenapa dia mengutamakan pemain muda daripada pemain senior yang langsung tiada dalam senarai pemilihan ke skuad kebangsaan Timor Leste.

"Masalah disiplin pemain senior yang mengambil minuman keras meletakkan saya dalam kesukaran.

"Sebab itulah saya memilih pemain muda," kata pengendali kelahiran Jepun itu.