Menjelang aksi berdepan Timor Leste dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam ini, pengendali Harimau Malaya, Tang Cheng Hoe, berasa lega apabila semua pemain berada di tahap terbaik tanpa dihantui isu kecederaan.

Sebelum ini, tiga pemain daripada senarai 26 pelatih digugurkan, iaitu pemain tengah, Syahmi Safari dan Abdul Halim Saari, serta pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie.

Situasi itu membuatkan bekas pengendali Kedah itu yakin mampu melakar keputusan positif untuk dijadikan bekalan dalam aksi kedua nanti sambil menegaskan dia sentiasa mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang rendah cabaran lawan.

"Sesi latihan ringan ini hanya untuk mengekalkan kecergasan pemain sambil memastikan mereka sudah bersedia untuk turun beraksi malam ini. Kami juga memantau sekiranya ada pemain yang mengalami sebarang masalah," katanya.

"Saya rasa pemain Timor Leste pantas melakukan serangan balas, jadi kami perlu berhati-hati. Semua pemain kita komited dan yakin pengorbanan sambutan Aidilfitri berbaloi."