Ketua pasukan negara, Farizal Marlias, kecewa hasrat untuk memastikan kekebalan pintu golnya tidak kesampaian sambil melabel aksi pertama play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi, masih banyak perlu diperbaiki.

Ketika ramai yang memuji kemenangan 7-1 Harimau Malaya ke atas Timor Leste, Farizal pula mengakui terkilan dengan hasil pertemuan pertama itu.

Apa tidaknya, di sebalik kejayaan tujuh gol daripada rakan sepasukan, dia pula gagal untuk memastikan 90 minit tanpa dibolosi selepas Joan Pedro Da Silva, menggegar gawang negara pada minit ke-52.

"Mungkin gol Timor Leste itu disebabkan kelekaan kami dan ia menyentak momentum permainan kami.

"Selepas itu, pemain mula sedar dengan kesilapan dan mula fokus dan mengasak," kata Farizal pasca perlawanan sempena aksi timbal balik di Bukit Jalil, Selasa ini.

Sementara itu, pertahanan negara, La'Vere Corbin-Ong, menganggap kemunculan kali keduanya bersama Malaysia cukup bermakna.

Lebih manis, dia mencetak jaringan pembukaan buat Malaysia pada minit ke-12 dan sudah pasti ia merupakan suntikan semangat untuk jaringan selebihnya.

"Kami menjangkakan untuk mencipta peluang dan menjaringkan gol.

"Kami gembira semua perancangan berjalan dengan baik selain gembira dengan tujuh gol yang terhasil," kata tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.