Hasrat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk mewujudkan pasukan 'feeder club' atau kelab sokongan hampir menjadi kenyataan apabila PKNS FC sudah memberi lampu hijau untuk penggabungan berkenaan bagi saingan musim depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon, hari ini.

Menurutnya, badan itu sudah menerima persetujuan daripada PKNS untuk penggabungan sebagai kelab sokongan Selangor bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim depan.

Meskipun syarat permohonan kelab sokongan memerlukan tempoh setahun sebelum diluluskan, beliau optimis perkara itu tidak akan menjadi masalah buat mereka.

"Setakat ini, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah menghantar surat permohonan pertama kami dan bersetuju tetapi memerlukan surat daripada PKNS. Jadi, langkah awal tampak MFL terbuka kepada hasrat itu," katanya.

Justeru, perkembangan itu mengundang persoalan mengenai pasukan mana yang akan mewakili Selangor II, musim depan.

Ditanya mengenai nasib PKNS serta gabungan pemain Piala Presiden kedua-dua pasukan itu, Dr. Johan berkata: "Tiada jawapan untuk itu. Slot memang lebih berhad. Selangor jelas akan lebih berkualiti tetapi buat pemain yang tidak mendapat tempat, kami dalam usaha untuk menganjurkan peringkat negeri atau bawah 21 tahun, selepas ini."