PKNS mengesahkan telah mengikat bekas pemain akademi Chelsea, Fabio Ferreira, serta sedang dalam proses akhir menandatangani pemain dari Korea Selatan, Park Kwang Lel.

Kedua-duanya beraksi di jentera serangan bagi menggantikan slot Matias Hadwa dan Lucas Espindola yang digugurkan ekoran prestasi kurang konsisten musim ini.

Pengendalinya, E. Elavarasan, menegaskan dia berpuas hati dengan tahap persembahan mereka berdua selepas menjalani sesi latihan bersama pasukan selama dua minggu.

"Saya rasa kami perlu ada perubahan dalam pusingan kedua liga sebab kami sudah lihat mereka bermain sejak dari awal, dalam 14 perlawanan.

"Jadi, kami rasa kalau ada penukaran, ia memberi motivasi kepada pemain lain," katanya.

Fabio mampu beraksi selaku pemain sayap kanan atau penyerang sokongan manakala Park bermain di posisi sayap kiri.

Sementara itu, PKNS juga menerima semula kepulangan bekas pemainnya, Khairu Azrin Khazali, yang sebelum ini beraksi di Melaka.

Khairu Azrin membuat keputusan itu selepas mengakui berasa lebih selesa bekerja dengan Elavarasan.

"Saya selesa dengan PKNS sebab dah lama, dan ia salah satu sebab mengapa saya kembali semula ke PKNS. Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan pasukan lama kerana melepaskan saya untuk ke pasukan ini," katanya.