Pengendali PKNS FC, E. Elavarasan, berdepan kemungkinan tidak dapat menurunkan import baru, Lucas Espindola, menentang Kelantan dalam aksi Liga Super ekoran masih lagi tidak menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) daripada kelab asalnya, Old Boys dari Argentina.

Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum sepak mula di antara PKNS dan Kelantan, Elavarasan masih menantikan ITC Espindola agar dia dapat beraksi petang ini.

Harapan itu kian tipis dan Elavarasan mengakui situasi itu sedikit mengganggu perancangannya untuk meraih tiga mata di laman sendiri.

Espindola merupakan pemain import keempat PKNS selepas Gonzalo Soto, Matias Hadwa dan Patrick Ronaldinho Wleh.

"Semalam dia beritahu dia akan memberi jawapan sebelum jam 3 pagi hari ini.

"Tapi kami belum jumpa sesiapa lagi. Justeru, pada masa ini kalau urusan ITC itu tertangguh, mungkin dia tidak dapat diturunkan.

"Selalunya perpindahan dari Amerika Selatan mengambil sedikit masa," ujar Elavarasan.

Espindola, yang beraksi di posisi tengah, berharap isu itu akan selesai dengan segera kerana dia sudah pun terlepas aksi pertama liga menentang Felda United pada 21 Januari lalu.

"Saya sudah tidak sabar menanti aksi pertama saya dan saya harap perlawanan seterusnya (menentang Kelantan), saya dapat bantu pasukan kerana minggu lalu mereka tewas.

"Jadi, adalah lebih baik jika kehadiran saya boleh membantu mendapatkan tiga mata," katanya.