PKNS FC menampilkan kebangkitan pada babak kedua dengan meledak tiga jaringan untuk menewaskan Melaka United 3-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam pada Jumaat, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua liga.

Biarpun menentang Melaka yang baru dinobatkan selaku juara Liga Perdana 2016, PKNS tetap memberikan saingan sengit.

Hasilnya, mereka memperolehi sepakan penalti apabila pemain Melaka, Wan Amirul Afiq, dilayangkan kad merah kerana mengasari Muhd Alif Haikal.

Bagaimanapun, Gonzalo Soto, gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Dua minit kemudian, Soto pula memberikan sepakan penalti kepada pemain lawan apabila mengasari Abd Aziz Ismail.

Ilija Spasojevic tidak menghadapi masalah untuk meletakkan Melaka mendahului 1-0 pada minit ke-42.

Bersambung dalam babak kedua, PKNS bangkit dan hanya memerlukan enam minit untuk menjaringkan dua gol.

Ia bermula dengan sepakan penalti yang disempurnakan Gabriel Guerra pada minit ke-48 dan satu lagi menerusi Muhd Alif Haikal pada minit ke-51.

Kekurangan seorang pemain di pihak Melaka, ternyata memberikan kesan buat mereka apabila PKNS terus menambah jaringan, kali ini menerusi Muhd Munir Amran pada minit ke-86 untuk memuktamadkan kemenangan 3-1.

"Saya berasakan Melaka telah muncul juara, jadi mereka mungkin lebih memberikan tumpuan kepada perlawanan terakhir, kerana saya menyaksikan ramai pemain utama yang tidak beraksi.

"Mungkin perlawanan terakhir nanti mereka bakal menjulang piala, jadi mungkin ketika itu mereka bakal menampilkan skuad penuh kerana mereka pastinya mahukan semua pemain berada dalam perlawanan itu," kata jurulatih PKNS, E. Elavarasan.

Sementara itu, pengendali Melaka, Mat Zan Mat Aris, terpaksa akur gagal untuk mengutip mata dalam perlawanan tersebut kerana mereka masih lagi mensasarkan untuk mengutip mata dalam baki perlawanan terakhir.

"Kami bukan turun beraksi pada malam ini dengan sambil lewa atau mengambil mudah kerana kami telah muncul sebagai juara. Kami juga mensasarkan mata dalam perlawanan ini tetapi kami terpaksa menerima kekalahan ini," ujar Mat Zan.