"Kami bermain baik hanya untuk tempoh 25 minit."

Itu rumusan pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, selepas pasukannya kecundang 0-1 di tangan Melaka dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam semalam.

PKNS turun buat kali pertama di laman sendiri dengan misi utama memperoleh tiga mata dan segalanya seakan-akan memihak kepada skuad Semut Merah itu yang mempertaruhkan import baru, Kpah Sherman, di bahagian serangan.

Bagaimanapun, ketumpulan penyudah menyaksikan mereka gagal menembusi kubu Melaka yang diterajui bekas kapten Felda United, Shukor Adan.

Ternyata sepakan penalti Safiq Rahim pada minit ke-23 sudah cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

"Kami dapat peluang untuk jaringkan gol tetapi sebaliknya kami dibolosi akibat tendangan penalti. Selepas itu, Melaka lebih banyak menguasai perlawanan. Kami tidak bermain dengan pantas sebelum rehat," kata Rajagobal.

Sementara itu, Melaka mahu menjadikan kemenangan itu sebagai pencetus motivasi, apatah lagi dua aksi selepas ini pastinya lebih sukar buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu.

Mereka akan melayan kehadiran Pahang di laman sendiri Sabtu depan dan disusuli kunjungan ke Larkin untuk pertemuan dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), seminggu kemudian.

Bagaimanapun, skuad Melaka pastinya resah ekoran kecederaan yang dialami pemain pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee, dalam aksi semalam di samping kecergasan Darko Markovic yang masih diragui.

"Selepas dua perlawanan, saya kehilangan Markovic yang cedera. Satu lagi kecederaan telah ada dan diharap ia tidak serius," ujar Zainal.