PKNS FC tidak perlu memenuhi kriteria seperti pasukan lain untuk permohonan pelesenan kelab 2020 apabila pasukan itu bakal dijadikan sebagai 'feeder club' atau kelab pembangunan buat Selangor.

Ia disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, yang belum menerima permohonan rasmi daripada PKNS atau Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk menjadikan pasukan itu sebagai kelab pembangunan bermula musim depan.

Bagaimanapun, PKNS enggan mengulas lanjut dan hanya akan memberi maklum balas dalam masa terdekat.

Keputusan itu diumumkan FAS selepas dipersetujui oleh kesemua 47 ahli gabungan dalam satu kongres luar biasa yang diadakan kelmarin.

"Kami belum menerima sebarang dokumentasi secara rasmi tetapi sudah tahu mereka mahu menjadi kelab pembangunan. Pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga telah meluluskannya. Kalau sudah terima, saya rasa bagus untuk PKNS. Kami akan menilai perkara itu," kata Stuart.

Sekiranya PKNS memberi lampu hijau, pasukan itu bakal beraksi dalam Liga Perdana musim depan selepas kali terakhir menjuarainya pada tahun 2011.