Penyerang PKNS FC, Safee Sali, bertekad merobek gawang Kedah sebagai bukti PKNS FC tidak terkesan dengan status bukan pilihan.

Menerusi gandingannya bersama Patrick Ronaldinho Wleh, Safee yakin keampuhan benteng pertahanan Kedah mampu diatasi ketika PKNS mengharapkan sekurang-kurangnya satu mata mampu dibawa pulang dari Stadium Darulaman, malam ini.

"Kami akan cuba mendapatkan gol, ia mampu melonjakkan semangat pasukan, terutama apabila menentang sebuah pasukan yang lebih kuat," ujar tonggak kebangsaan itu.

Nada sama turut dikongsi rakan sepasukan, Azmi Muslim, yang mahu memastikan gawang PKNS tidak dibolosi penyerang lawan walaupun menyedari ia tugas sukar.

"Malam ini adalah perlawanan yang sukar buat PKNS untuk bermain di Stadium Darulaman.

"Seperti yang semua tahu, rekod Kedah di Stadium Darulaman amat baik.

"Jadi, saya harap kami dapat memberikan cabaran terbaik," ujarnya.