Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusyidin Abdul Rashid, mengesahkan pemain dari Brazil, Bruno Oliveira de Matos, sebagai import baru pasukannya bagi menggantikan Jonathan Acosta yang digugurkan dalam jendela perpindahan kedua yang akan berakhir Ahad ini.

Bagaimanapun, de Matos yang berhijrah dari kelab Bahrain, Manama, tidak hadir dengan reputasi hebat susulan lebih kerap beraksi secara pinjaman sebelum ini dan hanya kelab dari Brazil, Palmeiras, dilihat pasukan ternama yang pernah diwakilinya.

"Kami mengesahkan telah mengenal pasti seorang pemain baru yang mungkin boleh memperkuatkan (bahagian tengah) pasukan kami.

"Dia beraksi di Brazil dan telah menjalani latihan bersama pasukan, malam tadi," kata Mahfizul.

Namun, dia tetap berjaya memikat skuad Semut Merah yang menamatkan kontrak Acosta dari Argentina menerusi persetujuan bersama.

Dia akan membuat penampilan sulung bersama PKNS dalam pertemuan menentang Negeri Sembilan, Ahad ini, jika proses mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) dapat diselesaikan.

"Kalau berdasarkan perkembangan terkini, dokumen-dokumen yang diperlukan sudah kami dapatkan.

"Cuma sekarang ini, kami masih menunggu pengesahan ITC dan pendaftaran oleh pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Sekiranya tiada masalah, dia boleh beraksi pada Ahad ini," katanya lagi.