Dihimpit dengan krisis prestasi dan kehilangan khidmat kapten, Safee Sali, sudah tiba waktu buat PKNS FC untuk menampilkan perwatakan sebenar dalam aksi pembukaan Piala Malaysia menentang Perak di Ipoh, malam ini.

Kecederaan bahu menyaksikan Safee terpaksa direhatkan untuk tempoh yang panjang dengan beban untuk mengepalai jentera serangan jatuh di bahu Patrick Ronaldinho Wleh.

Statistik dan prestasi semasa tidak memihak Ronaldinho yang bergelut tanpa menjaringkan gol dalam dua aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka United.

PKNS akan berkunjung ke Ipoh bagi aksi Piala Malaysia ketika mereka sedang memikirkan bagaimana untuk keluar daripada kelompok tiga pasukan tercorot Liga Super.

Tetapi pemain tengah PKNS, Fauzan Dzulkifli, berasakan kejayaan dalam saingan Piala Malaysia akan menyuntik semula keyakinan skuad itu.

"Ketiadaan Safee akan dipikul rakan sepasukan lain dalam memburu gol. Masalah utama kami, kami sering bolos sedangkan kami juga berjaya menyumbat gol yang banyak," kata Fauzan.

PKNS sudah mengharungi 14 perlawanan liga musim ini, namun secara keseluruhan prestasi skuad itu tidak begitu memuaskan dengan sekadar berada di kedudukan ke-10 dengan12 mata.

"Pada awal musim, kami menyasarkan satu piala. Kami dah terlepas peluang dalam saingan Piala FA, jadi dalam Piala Malaysia kami perlu memberikan segala-galanya," tambahnya.