Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, mengesahkan pasukannya akan menggugurkan tiga pemain import dalam jendela kedua perpindahan Liga Malaysia ketika ini susulan
prestasi buruk masing-masing dalam aksi separuh musim.


Ketika ini, penyerang dari Kemboja, Keo Sokpheng, sudah tiada dalam skuad PKNP manakala Franklin Clovis Anzite dan Yeon Gi-sung gagal menyerlah.

Prestasi Gi-sung dari Korea Selatan paling buruk apabila kemarau jaringan dalam sembilan perlawanan liga, termasuk ketika seri 1-1 dengan Selangor, Ahad lalu.

Mereka adalah antara tiga pemain yang berkemungkinan besar akan digugurkan ketika pemain tempatan diakui berjaya mempamer aksi memuaskan.

Abu Bakar sudah mengenal pasti pemain import baru untuk dibawa masuk memperkuatkan pasukannya bagi baki saingan musim ini.

"Saya telah membuat penilaian dan cuba untuk mendapatkan pengganti kepada tiga import kami. Kami dalam usaha untuk memastikan pasukan terus kekal dalam saingan Liga Super," katanya.