PKNP FC berasakan ketidakwajaran keputusan yang dibuat pengadil perlawanan semalam merencatkan persembahan dan usaha gigih yang dipamerkan pemainnya apabila tewas 4-3 kepada Perak.

Menurut ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim, keputusan pengadil, Nazmi Nasaruddin, yang beremosi dan tidak fokus dalam tugas banyak mempengaruhi keputusan di atas padang.

"Beliau (pengadil) memberi sepakan penalti di minit terakhir. Saya jarang sekali mempertikai kewibawaan pengadil dalam mana-mana perlawanan sebelum ini.

"Tetapi semalam, saya lihat beliau mengadili perlawanan dengan emosi, dendam seperti menghukum. Ini mungkin gara-gara pertelingkahan dengan pegawai-pegawai saya di bangku simpanan," jelas Abu Bakar.

Pengendali PKNP itu mendakwa lagi sebagai pengadil yang bertanggungjawab ke atas perlawanan semalam, beliau sepatutnya lebih fokus ke atas dua pasukan yang sedang bertarung di tengah padang, bukannya hilang fokus dengan sibuk melayani orang di luar padang.

"Sebagai pengadil, patutnya dia faham, sudah menjadi adat dalam bola sepak, jeritan daripada penyokong dan pegawai-pegawai.

"Tapi dia emosi, selain menghantar pegawai saya keluar dari bangku simpanan, dia seolah-olah berpuas hati dapat menghukum pasukan kelab kecil seperti PKNP dengan menghadiahkan sepakan penalti pada minit-minit terakhir.

"Pendapat ini juga dipersetujui oleh pengulas siaran langsung IFlix yang mengatakan pemberian sepakan penalti adalah tidak wajar," ujar Abu Bakar lagi.

Walaupun terkilan dengan keputusan semalam, Abu Bakar tetap profesional dengan mengucapkan tahniah kepada pasukan Perak.

"Hadirnya pemain PKNP dalam perlawanan semalam adalah untuk bersaing dan mencuba memberi tekanan kepada pasukan Perak.

"Jelas pengalaman dan kealpaan memisahkan jurang keputusan. Saya akur dgn keputusan perlawanan. Tahniah untuk pasukan Perak," ujarnya.