"Apa yang saya harapkan ialah mengelakkan kekalahan di sana (Kedah)". Itu reaksi ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menjelang pertemuan suku akhir antara pasukannya menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Menurut Abu Bakar, dia sedang mencaturkan posisi ekoran beberapa pemain utama tidak dapat beraksi.

Katanya, "Saya tidak dapat menurunkan kesebelasan utama kali ini. Dua pemain import, Vincent Lucas dan Ritus Krjauklis, tidak dapat diturunkan akibat kecederaan dan kad merah. Hanya Gilberto Valdenesio dapat beraksi.

"Boleh dikatakan, kali ini PKNP ke Alor Setar dengan 90 peratus tenaga tempatan".

Abu Bakar turut mengakui lawan yang dihadapi, Helang Merah, berada dalam prestasi terbaik.

"Dengan rekod liga, sejarah kejohanan Piala FA dan sebagai tuan rumah, Kedah mempunyai kelebihan.

"Tapi PKNP tetap akan memberi saingan di sana (Alor Setar), ujarnya lagi.