PKNP ikat Abbey, Asrorov

Azizan Hashim
Januari 16, 2019 08:36 MYT
PKNP FC mengikat dua awang import baru, iaitu Thomas Abbey dari Ghana dan pemain kelahiran Tajikistan, Siyovush Asrorov, bagi memperkasakan pasukan itu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019 yang akan bermula bulan depan.
Selepas menguji kedua-dua pemain itu dalam beberapa siri perlawanan persahabatan, PKNP FC
akhirnya memeterai ikatan dengan pemain tengah dan pertahanan itu tengah hari tadi.
Majlis menandatangani kontrak dilakukan di hadapan Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, di Hotel Casuarina@Meru.
PKNP FC kini hanya menunggu dua lagi pemain import di posisi penyerang yang dijangka tiba dalam tempoh terdekat.
"PKNP FC akan mengambil dua lagi pemain import tetapi jika perlu, kami akan melengkapkan kuota lima pemain asing yang dibenarkan," kata Zainol kepada pemberita dalam majlis tersebut.
Kelab konglomerat itu mengekalkan 12 pemain daripada skuad musim lalu dan berjaya mendapatkan khidmat Mohd Hafiz Kamal secara pinjaman daripada Perak.
Turut mendapat tempat dalam pasukan bimbingan Abu Bakar Fadzim itu ialah Mohd Hazrul Hazli Mohd Kadr, M. Mugenthiran, serta dua lagi pemain Perak, Khairul Asyraf Shahizah dan Muhd Rafiq Faeez Muhd Fuad..
"Kami tidak menetapkan sasaran tinggi tetapi saya akan lebih daripada berpuas hati jika kami berjaya memperbaiki pencapaian 2018," tambahnya.
Zainol yang juga penasihat Menteri Besar Perak berkata kelab itu akan mengadakan majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain pada 30 Januari ini di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) yang akan menjadi gelanggang rasmi pasukan itu.