PKNP 1 KEDAH 2

Hasrat PKNP FC untuk membawa kelebihan gol menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia musnah sebaik Kedah bangkit untuk menang 2-1 dalam perlawanan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi.


Berdasarkan persembahan dominan Kedah sejak wisel permulaan, PKNP sepatutnya mengekalkan pendahuluan yang diperoleh daripada jaringan Yashir Pinto dalam babak pertama.

Namun, mereka gagal memanfaatkan kelebihan itu apabila dibolosi dua gol selepas waktu rehat separuh masa dengan Fernando Rodriguez dan David Rowley muncul penyelamat lawan dari utara itu.

Penjaga gol PKNP, Shafiq Afifi Suhaimi, muncul individu paling sibuk sepanjang setengah jam pertama apabila perlu berusaha keras menyelamatkan deretan percubaan Kedah, antaranya menerusi percubaan leret Renan Alves dan sepakan percuma Baddrol Bakhtiar.

Usaha keras Mukhairi Ajmal Mahadi dari sebelah kanan membuahkan hasil apabila lorongan rendahnya disudahkan dengan sepakan kaki bersilang oleh Pinto.

PKNP seharusnya memperoleh jaringan tambahan sebelum waktu rehat andai tandukan Pedro Sandoval tidak diselamatkan penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Ketumpulan penyudah itu benar-benar diperbaiki Kedah dalam babak kedua.

Lima minit selepas perlawanan bersambung, sepakan percuma Alves sempat didada Jonatan Bauman sebelum Rodriguez merembat kencang untuk menewaskan Syafiq Afifi buat kali pertama.

Sepakan percuma jarak dekat yang diberikan kepada Kedah pada minit ke-62 dimanfaatkan Baddrol untuk melakukan umpanan yang disudahkan dengan tandukan oleh Rowley.

Keputusan 2-1 itu pasti memberikan kelebihan buat Kedah dan kesulitan buat PKNP menjelang aksi kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar hujung minggu ini.