PKNP FC belum mengangkat tangan sebagai tanda menyerah kalah dalam usaha menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana 2020.

Walaupun menghuni tangga ke-11 ketika ini, PKNP FC akan berusaha mengutip sebanyak mata yang boleh untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Dua pasukan tercorot liga 12 pasukan itu akan turun ke Liga Perdana, sekali gus menjanjikan saingan sengit di kalangan lima pasukan terbawah dalam baki lima perlawanan.

Pasukan-pasukan itu ialah Felda United, Kuala Lumpur, Petaling Jaya City dan PKNS FC.

"Persaingan belum berakhir. Kami akan lakukan apa yang termampu dalam setiap perlawanan.

"Dua rintangan utama, iaitu Johor Darul Ta'zim dan Pahang sudah dilalui dan kami akan bertemu pencabar-pencabar lebih ringan selepas ini," kata ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim.

Lima baki perlawanan PKNP FC ialah bertemu PKNS FC, Kedah, Melaka, Felda FC dan Petaling Jaya City FC.

Abu Bakar berkata peluang pasukan itu mengutip mata dalam lima perlawanan berkenaan cerah berdasarkan persembahan memberangsangkan dalam dua perlawanan terakhir itu apabila seri 1-1 dengan JDT dan tumpas 0-2 kepada Pahang.

"Jika pemain mampu mengulangi persembahan bersemangat seperti dalam dua perlawanan itu, peluang kami tetap ada," tegssnya.