Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyifatkan Fadhil Zonis sebagai berpotensi mengikut jejak Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom selepas pelumba berbasikal trek negara itu melakar kejutan dengan memenangi pingat emas acara keirin dalam Piala Negara-Negara UCI.

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, turut memberi jaminan bahawa PKBM akan mengadakan perbincangan menyeluruh sejurus berakhirnya Sukan Olimpik Tokyo bagi menentukan masa depan Fadhil dan skuad muda negara.

"Sudah semestinya kami menjangkakan medal tetapi kami amat bangga kerana dia dapat pingat emas.

"Dia menunjukkan bahawa dia berpotensi untuk menjadi Azizul dan Shah Firdaus yang seterusnya.

"Kami akan berbincang dengan semua pihak dalam menentukan hala tuju terbaik untuk pelumba berpotensi ini, " katanya dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, hari ini.




Hampir setahun tanpa kejohanan akibat penularan COVID-19, skuad berbasikal trek negara masih tetap mempamerkan aksi memberangsangkan dalam Piala Negara-Negara di Hong Kong, hujung minggu lalu, dengan meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Kejayaan itu membuktikan bahawa skuad negara sememangnya salah satu gergasi Asia Tenggara bagi acara berkenaan.

Jurulatih skuad berbasikal trek negara, Hasnizam Basri, yang turut berada di Hong Kong nyata bangga melihat pengorbanan anak buahnya yang beraya di perantauan membuahkan hasil.

"Beberapa pelumba juga menunjukkan kecemerlangan yang baik, " katanya pula.

The Pocket Rocketman turut menzahirkan kegembiraan dengan keputusan memberangsangkan itu sambil menyatakan rakannya itu mampu menjadi pelumba yang mampu menggegar dunia.