Pemain tengah Juventus, Miralem Pjanic, menjangkakan juara Serie A itu akan melantik jurulatih hebat di sebalik spekulasi mengenai pengurus Chelsea, Maurizio Sarri.

Sarri dilaporkan akan dilepaskan kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea, agar dia dapat menggantikan Massimiliano Allegri dengan kontrak tiga tahun di Turin.

Allegri membantu Juve meraih kejuaraan Serie A selama lima musim berturut-turut sebelum memilih haluan berbeza pada penghujung musim 2018-19.

Bagaimanapun, Pjanic tidak berasa risau mengenai masa depan kelab itu.

"Kami semua langsung tidak risau, Juventus akan kekal kuat seperti biasa," katanya kepada wartawan menjelang pertemuan Bosnia-Herzegovina dan Itali dalam kelayakan Euro 2020, awal pagi esok.

"Saya amat gembira untuk menentang Itali di Turin.

"Saya berasakan kad merah yang dilayangkan kepada saya sewaktu menentang Greece adalah tidak adil.

"Mujur mereka menarik baik penggantungan perlawanan kerana saya mahu berdepan Itali di stadium saya.

"Saya ulangi, saya tidak gusar tentang Juventus.

"Mereka akan mengumumkan pengurus kami tidak lama lagi.

"Seperti yang semua orang katakan, pengurus kami pasti seorang yang hebat. Itu sudah pasti," katanya.

Stadium Allianz milik Juve akan menjadi venue pertemuan di antara Itali dan Bosnia, yang akan kembali diperkuatkan dengan kehadiran Pjanic.

Pjanic diarahkan keluar padang ketika Bosnia terikat 2-2 dengan Greece, Mac lalu selepas membantu pasukannya mendahului 2-0.

Itali merupakan pasukan di tangga teratas Kumpulan J dengan tiga kemenangan dan berkelebihan lima mata di depan pasukan di tangga ketiga, Bosnia.

"Ia bukan mudah untuk Itali bangkit.

"Mereka perlu berterima kasih kepada pengalaman yang dimiliki (ketua jurulatih) Roberto Mancini untuk menerajui pasukan ini.

"Dia merupakan seorang profesional hebat yang banyak membantu, termasuk pemain muda, selepas waktu buruk pasukan kebangsaan itu.

"Amat pelik apabila Piala Dunia dijalankan tanpa Itali.

"Mereka memaparkan bola sepak yang hebat dan ramai yang gemar melihat mereka beraksi.

"Ia bukan mudah, kami menyedari mereka merupakan pasukan pilihan dalam kumpulan ini.

"Kami akan mencuba untuk menewaskan mereka.

"Ia perlawanan yang sukar kerana mereka memiliki ramai pemain yang hebat," tambahnya.