Pemain tengah Juventus, Miralem Pjanic, memberi amaran kepada semua pesaing Serie A bahawa pasukannya kini semakin meningkat dengan persembahan terbaik selepas membelasah Torino 4-0, awal pagi tadi.

Pjanic menjaringkan satu gol sementara Paulo Dybala dan Alex Sandro masing-masing menambah satu jaringan untuk melengkapkan kemenangan bergaya skuad Bianconeri di Stadium Allianz.

Pemain dari Bosnia dan Herzegovina itu turut tampil cemerlang apabila melakukan dua bantuan jaringan terhadap gol pertama Dybala serta jaringan daripada Alex Sandro dan dia melaungkan keyakinan bahawa Juve akan terus mengekalkan prestasi cemerlang itu.

"Ia adalah satu persembahan yang hebat melibatkan kualiti dan kuantiti. Torino kebiasaannya memberikan masalah kepada lawan tetapi kami tidak pernah memandang rendah.

"Saya berbangga dengan aksi seluruh pasukan dan kami perlu meneruskan prestasi ini. Pasukan ini dipenuhi oleh pemain-pemain berkualiti, termasuk pemain yang baru tiba pada musim panas baru-baru ini.

"Musim ini baru sahaja bermula dan jika kami mengekalkan tempo, kami berada dalam situasi terbaik mendapatkan keyakinan serta memastikan gawang tidak bocor," kata Pjanic.

Sementara itu, pengendali pasukan, Massimiliano Allegri, turut memuji aksi anak-anak buahnya, namun dalam masa sama berharap agar mereka lebih bijak dalam membuat sesuatu keputusan.

"Pemain-pemain beraksi dengan baik. Apabila lawan mula bermain dengan 10 pemain, kami mula mengawal perlawanan sepenuhnya.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa situasi yang sepatutnya dapat kami elak. Kami memperlahankan rentak terlalu banyak selepas waktu rehat tetapi masih berupaya menjaringkan gol," ujar Allegri.

Juventus kini berkongsi kedudukan pendahulu bersama Napoli dengan 18 mata, namun berada di tangga kedua selepas ketinggalan daripada segi jaringan.