Selepas tiga musim terlepas slot ke Liga Perdana, kelab Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) tidak menunggu lama untuk mengorak langkah bagi menghadapi saingan musim depan apabila melamar bekas penolong jurulatih kebangsaan, Hassan Sazali Waras, selaku pengendali baru.

Timbalan Presiden PJ Rangers, Simon Lim, menyifatkan pemilihan Hassan adalah berdasarkan pengalamannya yang telah lama berkecimpung dalam bidang kejurulatihan.

"Pengalamannya sangat luas sejak daripada ketua jurulatih Harimau Muda C, Harimau Muda B, Harimau Muda A sehingga pembantu jurulatih bagi skuad Sukan SEA negara. Dia juga pernah memegang jawatan pembantu jurulatih untuk skuad senior.

"Jadi, cara dia bekerja serta pengalaman yang dimiliki adalah sesuatu yang diperlukan oleh PJ Rangers buat masa sekarang," katanya.

Hassan akan memulakan tugasannya pada 1 November ini dan dia memberikan bayangan majoriti bekas skuad Harimau Muda bakal memperkuatkan PJ Rangers.

Bagaimanapun, dia tidak bermaksud untuk melakukan rombakan besar-besaran kerana mahu melakukan penilaian terlebih dahulu terhadap skuad sedia ada.

"Saya mungkin mengambil pemain-pemain yang pernah bersama dengan saya sebelum ini. Mereka tidak berpeluang untuk beraksi bersama pasukan-pasukan daripada Liga Super atau Liga Perdana. Tidak salah mereka mendapatkan semula sentuhan mereka dan meningkatkan kualiti sedia ada," ujar Hassan.

Dalam masa sama, Hassan juga menjelaskan dia bersedia mengharungi pasukan berstatus Liga FAM kerana ia sebenarnya tidak asing buat dirinya.

"Saya pernah membawa pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 2006 dimana kami melayakkan diri ke final menentang Johor FC pada waktu itu.

"Saya juga pernah bersama Harimau Muda C selama lima tahun," tambahnya.