Percaturan formasi 5-3-2 oleh P. Maniam membuah hasil apabila Petaling Jaya (PJ) City mampu menahan asakan Sabah di Stadium MBPJ, malam tadi.

Gol tunggal tercipta di penghujung permainan menerusi rembatan dari luar kotak penalti Sunil Chandran yang merupakan gol pertamanya sepanjang 10 penampilan musim ini.

Walaupun menonjolkan strategi 'meletakkan bas', pengendali PJ City itu lega dengan pendekatan baru berkenaan sekali gus meletakkan mereka di tangga ketujuh Liga Super.

"Pemain dapat menerapkan taktik baru dan mereka menyesuaikan diri dengan baik.

"Sabah banyak memberi tekanan, kami tidak dapat keluar (daripada posisi berbahaya), sebab itu kami tidak dapat menyusun permainan dari belakang.

"Mereka sudah mengkaji permainan kami dan mengerahkan segala kudrat untuk meraih tiga mata.

"Yang menariknya kami tidak melepaskan gol," kata Maniam.




Sementara itu, ketua jurulatih kelab Borneo itu, Kurniawan Dwi Yulianto, terkilan apabila ada dalam kalangan pemainnya yang gagal mengikuti arahan lalu menyebabkan mereka terpaksa berputih mata sekalipun menguasai permainan.

"Kami sedar kekuatan PJ City ialah bermain dengan kompak sambil melancarkan serangan balas.

"Saat PJ City menyerang dan tidak seimbang di belakang, ada pemain saya pula yang tidak mengikuti arahan.

"Saat kami memenangi bola dan sedia melancarkan serangan, pemain ini menangguhkan gerakan," kata legenda Indonesia itu tanpa mendedahkan tonggak terbabit.