Selepas hampir tewas dalam aksi pertama minggu lalu, PJ City FC mahu menjadikan Pahang sebagai mangsa untuk meraih tiga mata pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Keyakinan itu bersandarkan kepada rekod pertemuan musim lalu di mana PJ City meraih keputusan 1-1 di Kuantan dan menang 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Bagaimanapun, musim ini menyaksikan skuad kendalian K. Devan itu terpaksa akur beraksi di Stadium UiTM Shah Alam sebagai venue laman sendiri tetapi situasi itu jelas tidak mengganggu fokus mereka sebaliknya mengganggap ia satu kelebihan bertemu anak buah Dollah Salleh.

"Ia akan jadi pengalaman baru buat kami memandangkan Stadium UiTM bukan gelanggang sebenar PJ City. Memulakan saingan, kami masih mengenal pasti kelemahan serta kelebihan kami dan pasukan lawan," kata pengendali itu.

Sementara itu, tonggak berpengalaman, Mahali Jasuli, bertekad mahu mengulangi prestasi terbaiknya selepas muncul penjaring pertama buat pasukannya musim ini.

"Bagi saya, banyak lagi perlu diperbaiki untuk membantu pasukan. Untuk perlawanan kedua, keutamaan adalah mencapai kemenangan dan mengekalkan prestasi dalam liga," katanya.