Ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City, P. Maniam, melabel Kelantan mampu mengecewakan mereka sekiranya tidak mengambil mudah pertemuan di tempat sendiri, Jumaat ini.

Maniam menggesa anak buahnya berwaspada dengan lawan seterusnya itu meskipun berstatus pasukan daripada saingan Liga Perdana.

PJ City kini memburu tiga mata sulung dalam saingan Piala Malaysia Kumpulan D apabila sekadar meraih satu mata selepas dua perlawanan.

"Piala Malaysia ini berbeza dan mereka sememangnya layak bersaing contohnya Kelantan.

"Mereka mempunyai pemain yang bagus, hantaran dan penguasaan.

"Penyokong akan membantu mereka untuk bermain dengan bagus, jadi bukan senang untuk menentang mereka malah Kelantan mempunyai sejarah yang bagus (dalam Piala Malaysia)," katanya di Nadi Arena.





Maniam juga perlu merencana barisan terbaik dengan mengambil kira situasi kecergasan beberapa anak buahnya.

"M Tamilmaran masih dalam kecederaan dan perlu beberapa minggu lagi untuk kembali.

"Darren Lok masih mengalami kecederaan ringan tetapi akan mula menyertai latihan esok. Rajes (Perumal) dan Leslee (Jesunathan) pula masih tercedera.

"Bukan senang untuk kalahkan mereka dan mereka sebuah pasukan yang bagus sebelum ini," kata Maniam.