Jurulatih Petaling Jaya City FC (PJ FC), K. Devan, mengakui tekanan tanpa kemenangan sejak tiga perlawanan lalu mencetuskan reaksi spontannya di tepi padang sebaik peluang terhidang gagal dimanfaatkan anak buahnya.

Tanpa kemenangan sejak tiga perlawanan lalu, Devan menegaskan ia begitu perit untuk ditelan, mujurlah pasukannya menang 1-0.

Justeru, dia tidak mahu kehampaan itu berulang ketika berdepan PKNS malam tadi dan sememangnya mengharapkan kemenangan.

Reaksi daripada pengendali berpengalaman itu tidak terbendung sebaik anak buahnya gagal mencetak jaringan ketika melibatkan beberapa peluang yang terhidang di hadapan mata.

"Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol.

"Setiap kali kami mencipta peluang tetapi gagal disudahkan, itulah yang mendorong saya memberi reaksi kecewa di tepi padang.

"Selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut, sebab itu saya amat memerlukan kemenangan dan itulah punca pada detik-detik tertentu, saya berasa kecewa," kata Devan.

Sementara itu, Semut Merah gagal memanfaatkan peluang untuk berada di kedudukan tiga terbaik Liga Super susulan kekalahan tipis di Stadium MBPJ itu.

Pengendalinya, Datuk K. Rajagobal, tidak menolak ketiadaan Kpah Sherman yang digantung memberi impak besar kepada pasukannya.

"Kami tidak ada penyerang yang boleh mencetuskan kesukaran kepada pertahanan lawan.

"Kpah merupakan seorang penyerang yang agresif dan laju, itulah kekurangan kami malam ini (tadi)," kata Rajagobal.