Pengendali Chile, Juan Antonio Pizzi, berasakan anak didiknya wajar dipuji dan menyeru agar mereka terus berusaha selepas tewas 1-0 dalam final Piala Konfederasi di tangan Jerman, awal pagi tadi.

Chile terpaksa menggigit jari selepas Lars Stindl berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan biarpun di atas kertas, anak buah Pizzi jelas lebih berpengalaman.

Mereka telah melalui tempoh yang menakjubkan di bawah kendalian Marcelo Bielsa, Claudio Borghi, Jorge Sampaoli dan kini Pizzi, menjuarai dua edisi terakhir Copa America serta mengharungi kempen menakjubkan dalam Piala Dunia 2010 dan 2014.

Biarpun tewas, Pizzi kekal positif dengan persembahan yang diberikan oleh pasukannya.

“Idea saya adalah memberikan segala tenaga dalam kejohanan ini dan saya memberitahu pemain, jika kami pulang tanpa sebarang kudrat, pasti kami akan pulang dengan kejayaan,” ujar Pizzi.

“Ya, kami pulang dengan kejayaan tetapi tidak membawa piala.

“Ini kali pertama kami bermain dalam kejohanan ini dan saya yakin, pasukan lain sudah mula menunjukkan hormat kepada skuad Chile,” tambahnya.