“Kami sudah lupakan kekalahan dengan Pahang. Ini detik terbaik bagi The Red Warriors (TRW) bangkit semula di gelanggang sendiri apabila berjumpa dengan Johor Darul Ta’zim (JDT). Kami janji untuk buat sesuatu bagi mendapatkan tiga mata penuh."

Demikian laungan semangat kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi atau Piya, ketika mengulas pertemuan menarik menentang JDT dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.

Piya juga mengakui cuba mengembalikan aura ‘This is Kota Bharu’ dan berharap semua pemain yang diturunkan jurulatih, Zahasmi Ismail, beraksi dengan semangat juang yang tinggi.

“Sebelum ini ‘This is Kota Bharu’ memang gah. Tetapi sekarang ini, mungkin orang cakap tidak ada apa-apa. Kami kena baiki balik segala kelemahan yang ada dan beri semangat kepada pemain menunjukkan aksi terbaik.

“Insya-Allah, gabungan pemain Kelantan dan penyokong setia TRW mampu mengembalikan aura tersebut dan kami akan berusaha bersungguh-sungguh memburu kemenangan nanti."

Piya menjelaskan Kelantan sangat menghormati kemampuan skuad bimbingan Benjamin Mora yang dibarisi pemain berpengalaman, namun dalam permainan bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

“Kita tahu, JDT sebuah pasukan yang kuat dan sebelum turun ke sini (Kota Bharu), mereka menang besar dengan Melaka (7-0).

"Mereka mempunyai pemain berkualiti seperti Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal dan Azamuddin Akil. Begitu juga pemain import yang baik seperti Marcos Antonio dan Gabriel Guerra.

“Tetapi, orang cakap bola itu bulat dan kami akan buat sesuatu bila jumpa JDT. Kami kena pulih semangat. kami perlu fokus. Itu tidak mustahil dan saya harap kami akan menang," tambahnya.

Kelantan masih gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Pahang manakala JDT turun ke Kota Bharu dengan semangat yang hebat apabila membelasah Melaka United 7-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, kelmarin.