Bekas kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi, membidas sikap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang masih membisu terhadap isu tuntutan tunggakan gajinya.

Mohd Badhri atau Piya berkata walaupun berulang kali isu itu dibangkitkan, namun KAFA terus mendiamkan diri dan langsung tidak memanggilnya untuk berbincang mengatasi isu tersebut.

"Saya akui sedikit tertekan apabila memikirkan masalah ini (gaji). Ini hak saya yang perlu dituntut.

"Mereka (KAFA) hanya membayar separuh sahaja gaji bulan April dan selebihnya dibiarkan tertunggak. Selepas itu, saya digugurkan daripada skuad.

"Saya ada komitmen keluarga yang perlu dijalankan. Harap KAFA tidak memberi sebarang alasan dan boleh melunaskan gaji tertunggak itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Piya memberitahu dia sudah membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk tindakan lanjut.

"Biarlah isu ini mendapat perhatian semua pihak, termasuk FAM serta PFAM dan dapat diselesaikan dalam masa terdekat," tambahnya.

Untuk rekod, selain Piya, Kelantan turut berdepan tuntutan gaji daripada pemain pertahanan, Amiridzwan Taj Tajuddin, yang kini beraksi untuk Perlis.

Terbaru, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) turut mengarahkan KAFA membayar tunggakan gaji bekas pengarah tenikal, Alfredo Gonzalez (RM225,940) dan bekas pemain import, Dramane Traore (RM332,000).