Pemain tengah berpengalaman Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya, meminta rakan sepasukan melupakan segala kontroversi yang sedang melanda The Red Warriors (TRW), sebaliknya kekal fokus dan berusaha mendapatkan mata dalam aksi Liga Perdana menentang Sarawak di Stadium Negeri Kuching, petang ini.

Piya, yang kembali semula menyarung jersi TRW, berkata Kelantan tidak mampu lagi tercicir mata jika masih berhajat untuk mengintai slot ke Liga Super musim depan.

"Kami perlu cepat bangkit selepas terkeluar daripada saingan Piala FA apabila kalah 3-0 kepada Selangor di gelanggang sendiri.

"Kini, fokus utama kami ialah kepada saingan Liga Perdana dan kehadiran kami ke Kuching mahu memburu kemenangan untuk membaiki carta dan layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia pula.

"Lupakan segala kontroversi yang berlaku di luar padang. Biar pihak pengurusan yang selesaikan. Tugas pemain perlu fokus dalam padang dan bermain mengikut arahan jurulatih," katanya.

Piya juga sedar kesukaran yang bakal dihadapi TRW memandangkan Sarawak cukup mantap beraksi di gelanggang sendiri.

Tambahan pula, mereka mendapat motivasi terbaik apabila berkongsi mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) II, di gelanggang lawan.

"Biarpun Sarawak berada di bawah Kelantan (dalam carta liga), mereka cukup kuat apabila beraksi di Kuching.

"Kami perlu berhati-hati dan cepat mengusai permainan untuk memberi tekanan kepada tuan rumah. Demi lencana di dada, kami perlu berjuang untuk mencari mata," ujarnya.

Kredit Foto: KRW Official