Cristiano Ronaldo memahat sejarah baru selepas membantu Juventus menewaskan Spezia 3-0 dalam perlawanan Serie A di Turin awal pagi tadi.

Pemain berusia 36 tahun itu menyumbat masuk gol ketiga Juve selepas Alvaro Morata dan Federico Chiesa meletakkan pasukan tuan rumah itu di depan dalam babak kedua di Stadium Allianz.

Penyudah klinikal Ronaldo menjadikannya sebagai pemain pertama menjaringkan 20 gol atau lebih dalam setiap 12 musim berdasarkan lima liga utama di Eropah.

Ia momen untuk diingati buat bintang Portugal itu, yang telah beraksi dalam 600 perlawan liga sepanjang kariernya, untuk kini berkelebihan dua gol di depan penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku, dalam perebutan gelaran penjaring terbanyak Serie A musim ini.

Keputusan itu meletakkan Juve kembali dibezakan tujuh mata dengan pendahulu liga, Inter, berbaki 14 perlawanan musim ini dan ketua jurulatih, Andrea Pirlo, belum bersedia untuk mengaku kalah dalam pemburuan gelaran Serie A ke-10 berturut-turut mereka.

"Jurang itu hanyalah mata yang memisahkan kami," katanya kepada sky Sport Italia.

"Kami sedar ia perbezaan yang jauh. Pemain Inter sudah beraksi bersama sepanjang dua tahun, mereka mempunyai pendekatan yang amat baik tetapi kami baru memulakannya musim ini. Kami masih mahu berusaha untuk berada di sana pada penghujung musim ini."

Pirlo berasakan permulaan perlahan pasukannya ketika menentang Spezia adalah "lebih kepada keletihan fizikal berbanding psikologi" dengan menambah: "Ia boleh berlaku ketika anda menghadapi terlalu banyak perlawanan dengan pemain yang sama.

"Kami mencuba untuk mengawal permainan dan apabila pemain gantian dimasukkan, kami kelihatan lebih tajam dan dapat memanfaatkan kebanyakan peluang kami."