JUVENTUS 3 SASSUOLO 1

Andrea Pirlo menghidu barisan pemainnya mula mempamerkan bahawa mereka memiliki "DNA Juventus" untuk terus berjuang hingga perlawanan terakhir musim ini.


Juve masih jauh daripada prestasi terbaik dalam pertembungan Serie A dengan Sassuolo, awal pagi tadi, dan hampir terlepas tiga mata selepas Gregoire Defrel mengikat kedudukan 1-1 untuk membatalkan gol pembukaan Danilo.

Bagaimanapun, gol lewat daripada Aaron Ramsey dan Cristiano Ronaldo mengesahkan kemenangan 3-1 buat juara bertahan itu selepas lawan terpaksa mengharungi sepanjang separuh masa kedua dengan 10 orang.

Ramsey menghasilkan tiga situasi gol dalam lima penampilan Serie A terakhirnya (satu gol, dua bantuan jaringan) sementara Ronaldo mengulangi rekod menarik meledak sekurang-kurangnya 15 gol liga dalam 15 musim terakhirnya.

Kemenangan itu membantu Bianconeri untuk mencatat tiga kemenangan liga berturut-turut buat pertama kalinya sejak Julai 2020 untuk mengekori pendahulu, Milan, dengan tujuh mata selain memiliki kelebihan satu perlawanan.

"Dengan meningkatkan kualiti permainan maka kami mampu beraksi dengan lebih baik atau lebih buruk, tetapi keazaman adalah elemen yang sama sekali tidak boleh merosot," katanya dalam sidang media pasca perlawanan itu.

"Ia mesti mengalir dalam DNA Juventus, tekad dan keinginan yang membara perlu dikobarkan hingga saat-saat terakhir.

"Penting bagi kami untuk mempunyai rentak meneruskan kemenangan malam ini. Jika tidak, kemenangan di Milan pada minggu lalu tidak akan bermakna.



"Pergerakan kami agak lembab dalam perlawanan ini. Kami kurang teratur tetapi lebih tekad, kami menunjukkan bahawa kami dahagakan kejayaan.

"Kami adalah Juventus dan tekanan sentiasa membelenggu kami untuk memenangi setiap perlawanan. Kami harus menghadapi setiap perlawanan seolah-olah ia adalah perlawanan akhir untuk mendekati akhir musim ini.

"Semua pemain akan terlibat, mereka pasti meningkatkan tahap tumpuan dan tekanan juga.

"Kalau kami tidak menghadapi setiap perlawanan dengan fokus dan tekad yang tepat, maka kami akan bergelut."