Andrea Pirlo akan kembali ke Juventus bagi mengambil alih jawatan jurulatih skuad B-23 pasukan itu, demikian diumumkan pasukan juara Serie A berkenaan.

Pirlo menghabiskan tempoh selama empat tahun di antara 2011 dan 2015 untuk membantu skuad Bianconeri itu menjulang empat trofi Serie A, satu gelaran Coppa Italia dan dua Supercoppa Italiana.

Perancang tengah itu kemudian berpindah ke kelab Liga Utama Amerika Syarikat (MLS), New Tork City, dan menghabiskan tempoh selama tiga tahun di sana sebelum mengumumkan persaraannya pada 2017.

Pirlo kini melangkah setapak lagi dalam bidang kejurulatihan dengan kembali ke Juventus bagi mengendalikan skuad B-23 mereka.

Skuad B-23 Juve menduduki tangga ke-10 liga divisyen tiga Itali selain menjuarai Coppa Italia Serie C.