Gerard Pique menyeru kebangkitan skuad Sepanyol dalam Piala Dunia 2018 sambil menamakan kejayaan skuad Michigan 1989 yang memenangi kejuaraan NCAA (Persatuan Sukan Kolej Kebangsaan) sebagai rujukan untuk La Roja tampil hebat di Russia.

Semalam, juara Piala Dunia 2010 itu dikejutkan dengan berita pemecatan Julen Lopetegui selaku ketua jurulatih selepas Real Madrid mengumumkan bahawa pengendali itu akan membimbing Los Blancos selepas pusingan akhir Piala Dunia.

Tindakan itu dilakukan oleh Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) kerana tidak mahu Lopetegui memberi kesan kepada cabaran mereka dalam Piala Dunia dan tempat pengendali berusia 51 tahun itu digantikan oleh bekas kapten, Fernando Hierro, buat sementara.

Pique yang membarisi skuad La Roja ketika memenangi Piala Dunia 2010 dan Kejohanan Eropah 2008 dan 2012 mengambil inspirasi daripada kejuaraan yang dimenangi Michigan 29 tahun lalu, di mana Wolverines ketika itu memecat Bill Frieder.

Dia dipecat kerana mengumumkan akan mengambil jawatan kejurulatihan di tempat lain selepas pusingan akhir, sebelum penggantinya, Steve Fisher, membawa kejayaan buat pasukan itu.

"Universiti Michigan. Bola keranjang. 1989. Juara NCAA. Ia tidak akan menjadi seperti pertama kali," kata Pique menerusi laman Twitter peribadinya.

"Kini, semua pemain bersatu lebih daripada selamanya."