Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique, menerima hakikat bahawa Juventus adalah pasukan yang lebih baik daripada mereka dalam aksi Liga Juara-Juara, seterusnya berhak untuk mara ke separuh akhir.

Keputusan seri 0-0 hasil pertemuan kedua di Camp Nou, awal pagi tadi, menyaksikan Juve mara 3-0 secara agregat selepas meraih kejayaan menakjubkan di Turin, minggu lepas.

Perlawanan itu bukan sahaja mengakhiri 15 kemenangan berturut-turut Barca di laman sendiri di bawah kendalian Luis Enrique untuk menafikan hasrat mereka untuk menyamai rekod Bayern Munich.

Pique mengakui Barca berdepan tugas perit untuk cuba mengulangi kebangkitan seperti yang dipamerkan ketika menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16 sebelum ini.

"Mereka adalah pasukan yang hebat dan jauh lebih baik daripada kami -- mereka berhak untuk mara ke separuh akhir," kata Pique kepada BeIn Sport.

"Saya mendoakan mereka akan terus mara kerana mereka boleh memenangi kejohanan musim ini.

"Kami mencipta beberapa peluang tetapi kami berdepan tugas sukar. Ketika perlawanan terus berlanjutan, ia semakin sukar buat kami untuk bangkit.

"Mereka adalah pasukan Itali, mereka tahu bagaimana untuk bertahan dengan baik dan mereka adalah pakar di bahagian itu. Mereka datang dengan gaya bola sepak mereka dan melakukannya dengan baik."

Peminat Barca menyanyi dan mengibarkan bendera bagi menandakan sokongan mereka kepada pemain pada penghujung perlawanan, satu tindak balas yang menggembirakan Pique.

"Saya berpendapat ini adalah kekalahan yang sukar untuk diterima, namun sokongan peminat sangat hebat dan mereka terus bernyanyi," katanya.

"Mereka layak diiktiraf kerana ia merupakan salah satu situasi di mana saya jarang melihat Camp Nou begitu berbangga di sebalik kekalahan.

"Ia membuatkan saya bangga menjadi sebahagian daripada kelab ini dan berasa emosi dengan kekalahan ini."

Pique juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong menerusi Twitter dengan berkata: "Terima kasih peminat, saya tidak pernah melihat Camp Nou bertindak balas dengan baik kepada kekalahan. Bangga dan menyentuh perasaan..."