Stefano Pioli menegaskan "tiada apa untuk dimalukan" Milan selepas Atalanta memberikan mereka kekalahan kedua dalam Serie A musim ini.

Selepas rekod tanpa kalah mereka dimusnahkan Juventus pada 6 Januari lalu, skuad Rossoneri itu menghadapi kekalahan kedua daripada empat perlawanan liga terakhir selepas tumbang 0-3 kepada Atalanta di San Siro awal pagi tadi.

Cristian Romero, Josip Ilicic dan Duvan Zapata muncul penjaring dalam kemenangan itu untuk memanjangkan rekod tanpa kemenangan Milan ke atas skuad bimbingan Gian Piero Gasperini itu kepada tujuh perlawanan liga.

Bagaimanapun, Milan sah ditabalkan sebagai juara musim sejuk selepas Inter Milan terikat 0-0 dalam satu lagi perlawanan yang bermakna mereka akan kekal di kedudukan teratas apabila kesemua pasukan melengkapkan perlawanan ke-19 masing-masing.

Pioli menjadi saksi pasukannya hanya mendaftarkan dua percubaan tepat sepanjang perlawanan itu, yang menamatkan rekod menjaringkan gol dalam 38 perlawanan berturut-turut milik mereka.

Tetapi jurulatih itu tidak melihat sebarang kebimbangan selepas mereka tewas kepada juara bertahan, Juventus, dan Atalanta.

"Kami bermula baik dengan ramai pemain di bahagian serangan," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Mereka bermain dengan baik. Saya kecewa dengan cara kami membenarkan gol pertama mereka daripada situasi bola mati dan jaringan kedua mereka membunuh perlawanan ini.

"Ia tidak sepatutnya menjadi seperti itu, kami sepatutnya melakukan dengan lebih baik tetapi kami tidak dapat melakukannya. Atalanta memang terbukti pasukan yang kuat tetapi kami perlu beraksi lebih baik daripada pandangan teknikal.

"Mereka lebih kuat berbanding kami malam ini tetapi kami juga kuat.

"Perlawanan seperti ini boleh berlaku. Kami sedar liga ini amat kompetitif dan sukar.

"Saya fikir tidak ada apa untuk dimalukan dengan kekalahan kepada Juventus dan Atalanta. Atalanta lebih kuat daripada aspek fizikal, lebih sengit, mereka memenangi kesemua pertarungan udara dan bola kedua.

"Ia amat sengit apabila anda sampai ke tahap ini. Kami akan menganalisis kekalahan ini, akan mencuba melihat di mana kami boleh perbaiki dan fokus kepada perlawanan seterusnya," katanya.

Milan akan berdepan Inter dalam suku akhir Coppa Italia, Selasa ini sebeum bertemu Bologna bagi perlawanan Serie A hujung minggu depan.