SASSUOLO 0 AC MILAN 0

Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli, mengkritik aksi buruk pasukannya ketika terikat tanpa jaringan dengan Sassuolo dalam aksi Serie A awal pagi tadi tetapi yakin keadaan itu akan berubah menjelang aksi 'derby' menentang Inter hujung minggu ini.

Rossoneri mencatatkan dua kemenangan dan dua keputusan seri sepanjang empat perlawanan Serie A musim ini sebagai memulakan kempen mempertahankan kejuaraan mereka tetapi aksi terbaru menentang Sassuolo di Stadium MAPEI membuktikan masih banyak yang perlu diperbaiki.

Pasukan bimbingan Pioli itu mempamerkan aksi yang jauh di bawah prestasi sebenar tetapi bernasib baik dapat berkongsi mata, di mana penjaga gol, Mike Maignan, terpaksa menyelamatkan sepakan penalti Domenico Berardi dalam separuh masa pertama.

Dengan kegagalan mendapatkan tiga mata, Milan membuka ruang buat seteru utama seperti Inter Milan, Napoli dan AS Roma untuk memintas mereka dalam perebutan Scudetto musim 2022-23.

Seteru tradisi, Inter, akan menjadi lawan seterusnya buat Milan dan Pioli sedar mereka memerlukan penambahbaikan segera berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan.

"Itu bukanlah kualiti, teknik dan penilaian sebenar buat Milan.

"Kami bermain dengan terlalu gopoh. Kami tidak dapat membaca permainan dan menjadikannya rumit.

"Ia menjadi agak kotor, berkecamuk dan hanya terdapat sedikit rentak. Kami bergelut untuk mencari ruang.

"Kami bermula dengan baik, saya amat suka permulaannya tetapi kemudian, kami hilang ketenangan dan kami terlalu tergesa-gesa dalam mencari gawang lawan.

"Saya sudah bercakap dengan pemain, mereka juga sudah memberikan pendapat.

"Kami kekurangan kualiti dan ketenangan, mereka menyedarinya dan ia sesuatu yang penting.

"Saya fikir perlawanan seterusnya akan menjadi sesuatu yang berbeza," katanya.