Stefano Pioli menyifatkan spekulasi mengenai masa depannya selaku pengurus Milan sebagai normal sambil berhasrat untuk mengakhiri musim ini dengan pencapaian memberangsangkan di sebalik khabar angin Andriy Shevchenko bakal menggantikannya.

Milan hanya tewas sekali dalam sembilan perlawanan terakhir mereka berikutan ketibaan Zlatan Ibrahimovic bulan lalu untuk membantu Pioli memulihkan prestasi buruk mereka sejak beliau dilantik bagi menggantikan Marco Giampaolo pada Oktober lalu.

Begitupun, dua keputusan seri berturut-turut selain kalah sekali dalam tiga perlawanan terakhir menjelang kunjungan Torino dalam perlawanan Serie A, awal pagi esok, kembali mencetuskan keraguan terhadap jawatannya.

Bekas pengurus Rossoneri dan Juventus, Massimiliano Allegri, juga disebut-sebut berkemungkinan akan dilantik dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Saya cukup masak dengan peranan saya ini selain tentang cara kami yang tidak terbawa-bawa dengan khabar angin," katanya.

"Kami perlu meneruskan usaha ini sehingga musim ini berakhir.

"Kami adalah sebuah kelab yang hebat, khabar angin adalah satu perkara biasa bagi kami. Kami perlu fokus untuk terus berusaha.

"Masih banyak lagi peluang untuk kami meraih kedudukan yang baik, masih ada 45 mata untuk direbut.

"Saya tidak gusar tentang masa depan saya dan saya tidak memikirkannya. Saya mahu kami terus memanfaatkan situasi ini."

Pioli meletakkan Hakan Calhanoglu sebagai pemain sokongan kepada Ibrahimovic ketika seri 1-1 dengan Juventus dalam saingan Coppa Italia, Jumaat lalu, selepas menempa kekalahan 2-4 dalam pertemuan 'derby' dengan Inter.

Justeru, pengurus Rossoneri itu mempertahankan keputusannya untuk mempertaruhkan penyerang tunggal berbanding menggandingkan bekas bintang Sweden tersebut dengan penyerang lain seperti Ante Rebic atau Rafael Leao.

"Kami harus mengukuhkan perasaan positif ini dan mengembalikan semangat yang sama seperti yang ditonjolkan dalam beberapa perlawanan terakhir," katanya ketika bersiap untuk menghadapi Torino di San Siro.

"Semua sistem permainan adalah bagus sekiranya memiliki ciri pemain yang sesuai dengan sistem itu.

"Kami mempunyai ciri-ciri untuk beraksi dengan cara sebegini. Kami melihat pasukan senang dengan formasi ini kerana ia sangat seimbang, padat, sangat berbahaya dan telah melakukan lebih banyak percubaan ke arah pintu gol lawan."


Editor: Shaiful Shamsudin