BRESCIA 0 MILAN 1

Pengurus Milan, Stefano Pioli, memuji perwatakan barisan pemainnnya kerana berusaha meraih kemenangan 1-0 ke atas Brescia.


Ante Rebic muncul sebagai penjaring gol kemenangan Milan, dengan pemain yang dibawa masuk dalam separuh masa kedua itu meledak gol 19 minit sebelum tamat perlawanan, sekali gus melonjakkan pasukan ke tangga keenam.

The Rossoneri terpaksa bergantung kepada tuah mereka ketika beraksi di Stadio Mario Rigamonti, dengan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, menafikan beberapa siri percubaan tuan rumah sebelum jaringan kemenangan yang disumbang Rebic.

Pioli mengakui ia bukanlah persembahan terbaik pasukannya walaupun Theo Hernandez hampir menggandakan jaringan apabila percubaannya menggegar palang gol.

"Ia bukan persembahan terbaik Milan," katanya kepada Sky Sport Italia. "Kami menyedari mampu beraksi dengan lebih cemerlang tetapi perwatakan yang ditampilkan pasukan membuktikan kami mengetahui bagaimana untuk menderita.

"Kami akan meneruskan momentum ini. Saya berpuas hati dengan mentaliti pasukan dan ia perlu kekal sama. Daripada pandangan taktikal dan teknikal, kami perlu melakukan lebih lagi.

"Kami adalah pasukan yang berbeza jika dibandingkan pada permulaan musim ini, di atas padang serta daripada sudut perwatakan pemain. Perlawanan ini membuatkan kami memahami mengapa Serie A adalah saingan yang sukar."

Lucas Paqueta diketepikan daripada skuad Milan dan terdapat cadangan bahawa pemain itu berhasrat untuk meninggalkan pasukan dan Pioli tidak menolak sebarang perpindahan bakal dilakukan sebelum tamat bulan ini.

"Paqueta mengharungi saat yang sukar. Saya mahu menurunkannya tetapi situasi semalam kurang jelas. Jika terdapat pemain yang berhijrah keluar, akan ada yang dibawa masuk."



Editor: Ammar Hakim