Stefano Pioli tidak sabar menantikan kepulangan penyerangnya, Zlatan Ibrahimovic, tetapi ketua jurulatih AC Milan itu gembira dengan prestasi Rafael Leao ketika menewaskan Sassuolo dalam Serie A malam tadi.

Leao menjaringkan gol terpantas dalam Serie A -- hanya selepas enam saat perlawanan bermula -- untuk Milan merakamkan kemenangan 2-1.

Milan kembali menemui rentak kemenangan selepas terikat seri dalam dua perlawanan lalu dan kini memegang kelebihan satu mata berbanding seteru tradisi, Inter Milan, untuk menduduki tangga teratas liga.

Skuad kendalian Pioli itu tidak pernah tewas dalam 13 perlawanan Serie A musim ini walaupun tanpa khidmat Ibrahimovic sejak hujung bulan lalu dan penyerang itu -- yang telah menjaringkan 11 gol musim ini -- berkemungkinan terpaksa direhatkan sebulan lagi gara-gara kecederaan betis yang dialaminya dalam sesi latihan.

Walaupun pasukannya beraksi baik tanpa penyerang berusia 39 tahun itu, Pioli tidak sabar untuk menantikan kepulangan Ibrahimovic.

"Yang pertama, kami pasti lebih kuat dengan kehadiran Ibra. Dia seorang juara dan bersamanya, pasukan ini dapat meningkat daripada banyak aspek.

"Hasil usahanya, prestasi ramai pemain telah meningkat. Saya harap dia dapat kembali secepat mungkin kerana kami memerlukannya dan dengan adanya dia, kami menjadi pasukan yang lebih baik," katanya.

Leao, 21, merupakan pemain termuda yang menjaringkan tiga gol atau lebih dalam lima liga utama Eropah dalam setiap tiga musim ini.


Alexis Saelemaekers menggandakan kelebihan Milan untuk mereka memastikan kemenangan biarpun Domenico Berardi merapatkan jurang pada penghujung permainan.

"Saya amat gembira dengan Leao kerana adakalanya saya menagihkan sesuatu yang lebih daripadanya dalam aspek keazaman dan ketekalan dalam permainan.

"Saya tidak pernah menilainya berdasarkan jaringan tetapi hari ini, selain daripada menjaringkan gol, dia mempunyai pendekatan yang bagus dalam permainan dan dia berusaha keras ketika kami bertahan dan banyak membantu pasukan ini.

"Dia melakukan kesemua perkara itu dan dengan kualiti individunya jika dia mempamerkan mentaliti seperti itu, dia boleh menjadi pemain yang amat penting jika dia beraksi seperti yang telah dilakukannya (ke atas Sassuolo)," tambahnya.