Pioli bandingkan Ibrahimovic dengan Federer

Muzaffar Musa
Mei 1, 2020 02:24 MYT
Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli, membandingkan penyerangnya, Zlatan Ibrahimovic, dengan legenda tenis dunia, Roger Federer.
Ibrahimovic memberikan kesan segera selepas kembali menyertai Milan pada Januari lalu sebelum saingan Serie A ditunda disebabkan pandemik Covid-19.
Pemenang gelaran bersama Milan, Inter Milan, Barcelona, Paris Saint-Germain (PSG), Manchester United dan Ajax itu telah menjaringkan empat gol dalam kesemua kejohanan sejak tiba di San Siro daripada LA Galaxy.
Berkenaan persoalan mengenai masa depan Ibrahimovic di Milan -- di mana dia hanya menandatangani kontrak permulaan sehingga hujung tahun ini -- disebabkan krisis Covid-19, Pioli mengaitkan pemain berusia 38 tahun itu dengan pemenang 20 kali kejuaraan grand slam, Federer.
Saya sudah bercakap dengannya, dia baik-baik sahaja," kata Pioli dalam satu perbulalan Instagram Live.
"Saya fikir bakatnya adalah kualiti semula jadi dan tidak sukar untuk saya melihatnya tetapi bakat boleh diusahakan dan ditambah baik.
"Saya mengambil Roger Federer sebagai contoh, ketika dia dilahirkan dengan bakat seperti itu, dia masih bekerja keras setiap hari untuk menjadi pemain tenis terhebat yang pernah ada.
"Kita juga dapat menyaksikan bakat semula jadi disia-siakan, mungkin kerana mereka tidak cukup mahu untuk bekorban dan berusaha keras.
"Saya pernah melatih Miroslav Klose, penyerang yang menjaringkan gol paling banyak dalam Piala Dunia.
"Ibra juga memberitahu saya bahawa objektifnya setiap hari adalah untuk meningkatkan prestasinya dan itulah keadaannya," katanya.
#Zlatan Ibrahimovic #Roger Federer #AC Milan