Satu kemenangan yang mengelirukan buat Manchester United, yang sekali lagi bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengukir kejayaan kesudahannya.

Terlebih dahulu, tahniah harus diucapkan kepada United di atas kejayaan menumpaskan Atalanta 3-2 dalam perlawanan yang cukup getir biarpun selepas dihentam teruk dalam hampir setiap saluran media beberapa hari lalu.

Namun, hakikatnya tetap harus dinyatakan tanpa sebarang sikap berat sebelah -- ini bukanlah satu kemenangan yang memuaskan hati.

Pemain United yang menentang kelab Serie A, Atalanta, sememangnya berbeza sama sekali daripada segi mentaliti dan persembahan keseluruhan sewaktu tewas menentang Leicester City, tetapi tiada siapa tahu barisan pemain mana satukah yang akan muncul untuk berhadapan Liverpool, Ahad ini.

Menurut laman sesawang BBC, sandiwara yang ditunjukkan oleh United ini sememangnya tidak asing lagi dalam dunia bola sepak, malah sudah banyak kali terjadi.

Di saat pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer berhadapan dengan tekanan memuncak, pemainnya menghadiahkan satu persembahan mantap demi menghapuskan tekanan tersebut.

Dua tahun lalu, pada bulan Oktober 2019, United mengharungi lima perlawanan berturut-turut tanpa sebarang kemenangan sebelum berhadapan dengan Liverpool yang sedang mendominasi liga.

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri, namun United jelas menguasai perlawanan dan menggagalkan segala percubaan Liverpool.

Pada tahun yang sama juga, mereka mengharungi rentetan empat perlawanan yang cukup mendukacitakan, namun akhirnya bangkit untuk menewaskan Tottenham dan Manchester City.

Musim lalu, United cuma menang sekali dalam lima perlawanan sebelum berhadapan dengan Manchester City dan berjaya memperoleh kemenangan pada akhirnya.







Dalam perlawanan menentang Atalanta, penyokong yang semakin jelak dengan kelonggaran barisan pertahanan United menghadiahkan 'boo' yang cukup lantang buat pasukan mereka apabila separuh masa pertama berakhir dengan skor 2-0 untuk pelawat.

Pada akhir perlawanan, segala cemuhan bertukar menjadi nyanyian gembira dan penyokong enggan meninggalkan stadium sebelum mereka mengucapkan tahniah kepada Solskjaer.

Kemenangan yang teramat menggembirakan, namun di sini kita sekali lagi mengulangi soalan yang ditanyakan dalam artikel lalu -- berapa lamakah ia mampu bertahan?

Dalam temu bual bersama saluran televisyen BT Sport, bekas pemain tengah United, Paul Scholes, memberikan satu analisis pedas tentang persembahan The Red Devils secara mendalam.

"Saya cukup risau tentang persembahan mereka pada separuh masa pertama.

"Jika United berhadapan dengan pasukan yang lebih mantap, kesudahannya akan berbeza sama sekali; United akan dibelasah teruk tanpa peluang untuk membalas.

"Atalanta kehilangan lima pemain utama mereka malam ini tetapi mereka masih berjaya menjaringkan dua gol.

"Saya tidak boleh berhenti memikirkan perlawanan menentang Liverpool selepas ini dan Manchester City seterusnya.

"Jika Solskjaer terus meletakkan hanya dua pemain tengah dalam perlawanan-perlawanan tersebut, saya boleh jamin mereka akan bolos tiga atau empat gol."







Dalam perlawanan menentang Atalanta, United menggunakan formasi 4-2-4, dengan hanya Fred dan Scott McTominay memainkan peranan pemain tengah.

Sememangnya ini adalah satu formasi yang mengutamakan serangan, namun risikonya adalah barisan pemain tengah akan didominasi oleh pihak lawan dan boleh menyebabkan pasukan gagal menguasai rentak permainan buat jangka masa panjang.

Tidak lupa juga, dua pemain di bahagian tengah itu harus berusaha keras tanpa henti sepanjang perlawanan dan tekanan ke atas mereka teramat besar.

Seorang lagi bekas pemain United, Rio Ferdinand, turut tidak berpuas hati dengan persembahan pasukan, namun memberikan kata-kata yang lebih positif.

"Tidak masuk akal jika kita katakan yang masalah United sudah selesai sekarang dan segalanya bakal baik-baik sahaja, tidak sama sekali.

"Tetapi, kemenangan sebegini haruslah dihargai dan diingati.

"Emosi dan keterujaan pemain haruslah terus dibawa ke perlawanan-perlawanan berikutnya dan ia wajar digunakan untuk menaikkan semangat seluruh pasukan," ujar Ferdinand.
Di pihak Solskjaer pula, ulasannya cukup ringkas.

"Kami harus kurangkan jumlah gol yang dibolosi tetapi kami juga tidak boleh menyalahkan pemain pertahanan semata-mata.

"Kami haruslah berlatih untuk menyerang dan bertahan sebagai satu pasukan.

"Bila kesilapan berlaku, kami harus memahami punca di sebaliknya dan memperbaikinya pada masa akan datang."

Sememangnya mudah untuk dikatakan, tetapi setakat ini, apa yang seharusnya dilakukan masih belum jelas kelihatan.

Kita nantikan bagaimana persembahan United di Old Trafford pada hujung minggu nanti.