Jordan Pickford yakin Thibaut Courtois bukan seorang penjaga gol yang lebih hebat berbandingnya selepas pemain Belgium itu mengkritiknya susulan aksi kedua-dua pasukan di peringkat kumpulan.

Belgium menundukkan England 1-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 untuk muncul juara kumpulan selepas Adnan Januzaj meledakkan gol tunggal perlawanan.

Pickford dikritik oleh banyak pihak kerana gagal menafikan percubaan bekas rakan sepasukannya di Sunderland itu sehingga ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa dia menggunakan tangan yang salah ketika cuba menyelamatkan bola.

Analisis yang dilakukan Courtois terhadap gol itu lebih terarah kepada ketinggian serta teknik yang dimiliki Pickford walaupun penjaga gol Chelsea itu kemudian menafikan dia mengkritik pemain Everton itu.

Bagaimanapun, Pickford ternyata tidak mengendahkan apa yang diperkatakan oleh Courtois.

"Saya tidak akan membiarkannya mengganggu saya," kata Pickford.

"Ia cuma satu perlawanan bola sepak. Saya tidak membiarkan kritikan sebegitu memberi kesan kepada saya. Saya cuma manusia biasa dan ini adalah bola sepak.

"Ramai orang berfikir saya masih muda tetapi ia adalah musim kedua saya di pentas Liga Perdana Inggeris dan saya tidak fikir wujud jurang yang jauh di antara saya dan dia.

"Saya mengharungi banyak perlawanan dalam liga bawahan dan tidak rasa saingan Liga Perdana Inggeris atau aksi bersama England begitu berbeza. Kadangkala, cabaran dalam liga yang tidak diiktiraf atau Liga Dua lebih sukar," tambahnya.