Barisan kepimpinan tertinggi Persatuan Hoki Perak meletakkan sasaran untuk pasukan itu ke final PialaTun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bermula 10 November ini.

Dalam satu temubual bersama wartawan Nadi Arena, Karl Nunis, hari ini, Presiden Persatuan Hoki Perak, Sayuti Abd Samat, berkata pasukan juara bertahan itu yakin dapat sampai ke penentuan kejuaraan edisi kali ini meskipun kehilangan ketua jurulatih, Roslan Jamaluddin.

"Kami berkeyakinan untuk sampai ke final, itu sasaran kami.

"Tahun lalu, jurulatih kami adalah Roslan Jamaluddin tetapi memandangkan Roslan mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan, persatuan kami telah menamakan Abdul Sukur Adam sebagai jurulatih.

"Majoriti pemain bersetuju mengenainya, jadi kami memilih dia sebagai jurulatih untuk membimbing pasukan Piala Razak bagi tahun ini," katanya.

Abdul Sukur, dalam pada itu, menambah pasukannya akan menggunakan khidmat majoriti pemain pelapis dan akan dibantu lima pemain senior bagi edisi kali ini.

"Kami memiliki pelapis yang berpotensi untuk menggantikan pemain senior sedia ada dan hanya akan dibantu oleh beberapa pemain senior.

"Kami akan membariskan lima pemain senior yang diperlukan untuk membimbing pemain muda yang kami miliki.

"Saya menerapkan dua perkara penting buat mereka (pemain).

"Yang pertama adalah kombinasi yang baik antara pemain senior dan junior dan yang kedua, pemain junior perlu memiliki penetapan minda bahawa Piala Razak merupakan piala yang tertua di Malaysia, jadi mereka perlu mengubah cara permainan mereka," katanya.