Dua jaringan Siroch Chatthong menyaksikan Thailand mengekalkan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2016 dan yang kelima buat mereka dengan menewaskan Indonesia 2-0 dalam perlawanan akhir kedua di Bangkok untuk merekodkan kemenangan agregat 3-2, malam ini.

Sebaik wisel pertama ditiupkan, Thailand terus mengasak dalam usaha memadamkan defisit 2-1 daripada perlawanan akhir pertama.

Bagaimanapun, usaha mereka itu digagalkan pertahanan Indonesia yang kental mengawal kubu mereka.

Namun, Thailand akhirnya berjaya menembusi gawang Indonesia pada minit ke-37.

Ia terhasil dengan sedikit elemen tuah selepas sepakan pertahanan Indonesia terkena Siroch Chatthong dan bola melantun menerjah gawang Indonesia.

Pada 45 minit seterusnya, Thailand meneruskan penguasaan dan hanya memerlukan tempoh dua minit untuk menjaringkan gol kedua, sekali lagi menerusi sepakan cantik Siroch yang menewaskan Kurniawan Mega.

Indonesia cuba bangkit, namun gerakan mereka mudah dipatahkan pertahanan tuan rumah yang turut memperolehi sepakan sepakan penalti pada m-81, tetapi gagal disempurnakan Teerasil Dangda.

Indonesia jelas kecewa kerana gagal menembusi pintu gol Thailand sehingga menyaksikan pemainnya, Abduh Lestaluhu, dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan di minit-minit akhir permainan.

Sehingga tamat perlawanan, Thailand berjaya mempertahankan kejuaraan pada ketika Indonesia terus kempunan untuk mendakap trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama.