Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, berdepan situasi sukar apabila permohonannya kepada Persatuan Bolasepak ASEAN (AFF) untuk mendapatkan pemain tambahan berakhir dengan hanya pertukaran seorang penjaga gol dibenarkan.

Ini selepas pengendali Harimau Malaya itu hanya dapat membawa 24 pemain daripada keseluruhan 30 kuota yang diperuntukkan dalam Piala Suzuki AFF 2020 dan lebih memburukkan keadaan, dua daripada mereka, iaitu Khairulazhan Khalid (penjaga gol) dan Faisal Halim (pemain tengah), terpaksa dikuarantin selama 10 hari berikutan positif COVID-19.

Nama Azri Ghani, Sam Somerville dan Farizal Marlias kini berada dalam perancangan barisan kejurulatihan negara, sekali gus menyaksikan Khairulazhan mungkin terpaksa melupakan kempen kali ini.

"Setakat ini, kami hanya dapat menggantikan seorang penjaga gol, jadi di bahagian lain, kami harap dapat menggilirkan pemain yang sedia ada dalam skuad kami di Singapura ini," kata Cheng Hoe dalam sidang media secara maya seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Itu adalah syarat-syarat yang ditetapkan oleh AFF, jadi kami akan mengekalkan Faisal Halim dan berharap dia dapat pulih dengan secepat mungkin."

Malaysia akan menentang Laos petang Khamis ini sebelum bertemu Vietnam dan Indonesia, masing-masing pada 12 dan 19 Disember ini.