Persiapan singkat dan ketiadaan pemain utama menjadi kekurangan skuad negara dan perlu berwaspada dengan ancaman Kemboja, demikian kata kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, menjelang perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura petang esok.

Malaysia hanya membawa 24 pemain dalam edisi kali ini degan ketiadaan beberapa tonggak utama.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat desas-desus yang mengaitkan dua pemain negara terpaksa dikuarantin selama 10 hari selepas didapati positif COVID-19 hari ini.

Aidil Zafuan mengakui skuad negara tidak memiliki persiapan yang sempurna menjelang kejohanan itu tetapi berharap keserasian segera dapat dipupuk sesama pemain bagi mengelakkan mereka dikejutkan oleh pasukan di ranking ke-170 dunia, Kemboja, dalam perlawanan pembukaan itu.

"Saya mahukan pemain lebih fokus bagi perlawanan esok kerana kami kebanyakannya kekurangan masa (untuk melakukan persiapan) dan tiada aksi persahabatan sebelum kejohanan sebenar," katanya dalam sidang media secara maya seperti yang dipetik Nadi Weekend hari ini.

"Kami tidak tahu bagaimana cara permainan kami sebelum ini, jadi ia membuatkan saya sedikit risau.

"Tetapi apapun, itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan dan saya harap kami dapat segera menemui rentak permainan -- sepantas yang mungkin.

"Kerana jika kami lambat mencari rentak, mungkin kami akan dihukum oleh Kemboja.

"Saya fikir tiga mata dalam perlawanan ini amat penting buat pemain untuk kami mendapatkan keyakinan bagi perlawanan seterusnya, terutama ketika kami menentang Vietnam, Indonesia mahupun Laos.

"Apapun yang terjadi, kami tetap perlu mencari kemenangan, kami tidak boleh kalah dalam perlawanan ini," katanya.

Selepas aksi menentang Kemboja, Malaysia akan menentang Laos pada Khamis depan sebelum bertemu Vietnam dan Indonesia, masing-masing pada 12 dan 19 Disember ini.