Julen Lopetegui percaya belum ada kelab Eropah ketika ini yang dominan seperti Bayern Munich sambil pengurus Sevilla itu mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi pemenang Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

Bayern -- di bawah bimbingan Hansi Flick -- memenangi kejuaraan musim lalu.

Gergasi Bundesliga itu sempat mengalami kebuntuan di bawah bekas pengurus, Niko Kovac, tetapi semakin garang sejak Flick mengambil alih tugas berkenaan.

Sementara itu, Sevilla, yang menghuni kelompok empat teratas LaLiga selain mengakhiri kempen musim lalu dengan kejuaraan Liga Europa buat kali keenam.

Meskipun Lopetegui memuji sentuhan Flick, namun dia percaya wakil LaLiga itu berupaya untuk mengekang Bayern dalam perebutan Piala Super UEFA di Budapest.

"Pasukan seperti ini bukan selalu muncul di Eropah," kata bekas pengurus Sepanyol itu dalam sidang akhbar.

"Bayern memiliki seorang pengurus yang berhak meraih banyak penghargaan atas caranya memimpin pasukan dan memberikan mereka satu identiti permainan yang kuat.


"Sangat sukar untuk mengulangi apa yang mereka lakukan kerana mereka tahu pendekatan permainan dengan tepat serta bilakah mereka perlu melancarkan serangan dan bertahan.

"Kami akan memasuki permainan ini dengan harapan yang tinggi. Kami mempunyai keinginan yang jelas dan kami bersemangat untuk bersaing lagi. Peluang beraksi menentang lawanan seperti ini harus memotivasikan kami dan membuat kami berkembang.

"Kami memerlukan ciri-ciri fizikal, mental dan secara keseluruhan semuanya di tahap terbaik dalam misi mengalahkan Bayern.

"Kami akan berusaha memaksa mereka menonjolkan prestasi terbaik dan menghadapi perlawanan ini cara yang terbaik."

Tatkala Sevilla belum memulakan kempen LaLiga, Bayern pula menang bergaya dalam aksi pertama Bundesliga dengan membelasah Schalke 8-0, Sabtu lalu.