JUVENTUS 2 LAZIO 3

Massimiliano Allegri mengakui Lazio berhak ditabalkan selaku juara Piala Super Itali selepas menundukkan skuad kendaliannya, Juventus, 3-2 dalam aksi final mendebarkan di Stadio Olimpico, awal pagi tadi.


Ciro Immobile memenangi dan menyudahkan sepakan penalti pada separuh masa pertama sebelum menanduk masuk gol peribadi keduanya pada minit ke-54 untuk meletakkan anak buah Simone Inzaghi dalam penguasaan penuh.

Juve, yang seakan-akan tenggelam punca, jarang menggugat sehingga Paulo Dybala meledak masuk satu sepakan percuma menakjubkan pada minit ke-85 dan penyerang Argentina itu menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti pada masa kecederaan selepas Adam Marusic mengasari Alex Sandro.

Begitupun, Jordan Lukaku kembali meletakkan Lazio di depan apabila mencipta peluang untuk pemain gantian, Alessandro Murgia, meledakkan gol kemenangan.

Sekalipun cuba bangkit pada lewat permainan, Allegri bertegas juara Serie A itu selayaknya kalah.

"Kami hanya mendapat rentak pada setengah jam terakhir," katanya dalam laman sesawang kelab.

"Saya sedar kami akan berada dalam masalah, terutama pada separuh masa pertama.

"Kami bermula dengan corak permainan lebar untuk lebih penguasaan, namun kami harus melakukannya dari awal lagi.

"Kami meletakkan mereka dalam keadaan tertekan sebaik mereka keletihan. Ada kalanya bola sepak merampas apa yang anda miliki.

"Saya kesal kami tewas dengan cara begitu, namun ia bukan alasan terhadap aksi buruk kami."

Juventus akan memulakan kempen memburu kejuaraan Serie A ketujuh berturut-turut di tempat sendiri menentang Cagliari, minggu depan, dan Allegri berharap kekalahan kepada kelab ibu negara itu sebagai petanda untuk bangkit.

"Dalam liga, kami tidak boleh mengulanginya," tambah beliau.

"Kekalahan ini menyedarkan kami bahawa kemenangan bukannya mudah.

"Ada antara kami masih belum bersedia lagi. Saya tahu ia bukan mudah.

"Musim ini baru bermula dan sudah pasti ia bukannya mudah tetapi kami akan melihat Juve yang berbeza, bermula Sabtu depan."