Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa, mengakui kejayaan memenangi Piala Sumbangsih memberi petanda baik kepada skuad Harimau Selatan itu untuk memenangi kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut musim ini.

JDT menepati ramalan apabila mengekalkan kejuaraan itu buat kali kedua berturut-turut selepas menumbangkan Perak melalui sentuhan penjaring tunggal perlawanan, Gonzalo Cabrera, dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

JDT sememangnya layak untuk mengutip tiga mata dalam aksi pertama musim ini selepas mendominasi pertemuan itu.

"Saya sudah memberitahu anda semua bahawa kami mempunyai barisan pemain yang mantap di setiap posisi dan keupayaan dimiliki mereka seimbang.

"(Misalnya) Adam Nor Azlin yang beraksi dengan baik dalam perlawanan ini biarpun jarang diturunkan musim lalu," kata Figueroa.

Dalam masa sama, pengendali The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, menolak tanggapan bahawa pasukannya masih berbulan madu atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2018 sambil menganggap JDT memerlukan gerakan menarik untuk menghukum mereka.

"Kami adalah juara Piala Malaysia dan sememangnya berhak untuk meraih tangga kedua Liga Super musim lalu.

"Kami berdepan sebuah pasukan mantap malam ini (tadi) dan kami tahu dengan ancaman yang mampu mereka hadirkan.

"Namun, mereka memerlukan gol menarik untuk (menewaskan kami), ia satu gol berkelas dunia," katanya.